Wednesday, July 3, 2013

Ikan Keli dan Haiwan al-Jallalah

Found this on Facebook, semoga bermanfaat :)
Susunan Ringkas berkaitan dengan Haiwan al-Jallalah (Haiwan yang diberi makan najis dan kotoran)

A) Maksud Haiwan al-Jallalah:

Menurut ad-Dumairi Rahimahullah binatang yang makan najis dan tahi dipanggil al-jallalah. Di dalam kitabnya Hayah al-Hayawan al-Kubra beliau menyatakan:

Ertinya: dan al-Jallalah itu dalah binatang yang makan tahi dan najis-najis sama ada binatang itu unta, sapi, kambing, ayam, angsa, ikan atau selainnya daripada binatang yang boleh dimakan.

Menurut para ulama Hanafiyah: al-Jallalah adalah merupakan binatang yang hanya menjadikan najis sebagai makanan asasinya tanpa memakan makanan yang lain. Bau dagingnya juga akan berubah disebabkan pemakanannya yang sedemikian.

Manakala para ulama Malikiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah pula berpendapat bahawa maksud al-Jallalah ialah binatang yang selalunya menjadikan najis sebagai makanannya tetapi turut memakan makanan yang lain selain daripada najis.

Dalam istilah sains, ia dikenali sebagai Koprofagia (Coprophagous). Koprofagia adalah haiwan yang memakan najis/kotoran, ia berasal dari bahasa Yunani; copros (najis) dan phagein (makan). 

Serangga Koprofagia memakan dan mencerna najis binatang yang lebih besar; najis ini mengandungi makanan yang setengah telah dicerna. Sistem pencernaan herbivor tidak terlalu efisien, jadi makanan yang sudah setengah dicerna ini lebih mudah dimakan oleh mereka.


B ) Hukum Memakan Haiwan Al-Jallalah

Ulamak khilaf tentang hukum memakan haiwan al-Jallalah, Ia bersandarkan pada hadis, Ibnu Umar Radiallahu anhuma meriwayatkan yang bermaksud:

“Rasulullah Shallallahu Alaihi wasallam menegah daripada memakan daing binatang al-jallalah (binatang yang makan najis) dan meminum susunya.”
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Manakala para ulama Hanabilah mengharamkan daging al-Jallalah untuk dimakan. Ini seperti disebutkan di dalam kitab Kasyful Qhina’ dan al-Mughni li Ibn Qudamah al-Maqdisi.

Imam Nawawi berkata di dalam al-Majmuk, bahawa menurut pendapat al-ashah tegahan tersebut adalah bersifat makruh sahaja bila mana daging atau susu binatang al-Jallalah itu berbau seperti bau najis.

Para ulama Malikiyah seperti yang disebutkan di dalam kitab Syarhul Kabir dan Bidayatul Mujtahid mengharuskan untuk umat Islam memakan al-Jallalah.

Para ulama Hanafiyah, Syafieyah , Imam Malik sendiri, dan al-Imam Ahmad di dalam salah satu pendapatnya mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh untuk dimakan.

Berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006, ikan yang dipelihara di dalam kolam ternakan dan seumpamanya adalah haram dimakan sekiranya ikan tersebut sengaja dipelihara di dalam air najis atau sengaja diberi makan najis seperti daging babi, bangkai atau sebagainya.

C) Kuarantin dan Al-istibra’ :

Sekiranya binatang itu dikurung (dikuarantinkan) untuk diberi makanan suci sehingga hilang bau dan kesan najis padanya, maka memakan daging binatang tersebut tidak haram malah tidak makruh.

Salah satu kaedah alternatif (selain sumber disepakati dan dipersilisihkan) ialah dengan menggunakan kaedah al-Istibra’. al-istibra’ dapat difahami sebagai satu keadah pengkuarantinan bagi yang dicemari najis. Di sisi lain ia juga merujuk kepada al-Habs, iaitu pengurungan dan penahanan. 

Dalam perbincangan fiqh klasik, al-Istibra’ merujuk kepada proses pengkuarantinan haiwan al-Jallalah seperti ayam, lembu, unta dan kambing yang diberi makan makanan najis dan kotoran. Haiwan ini dikuarantinkan bagi tujuan menghilangkan sifat najis yang terdapat padanya dengan diberi makanan yang suci dan bersih. 

Dalam hal ini juga, kaedah Istihalah boleh digunapakai kerana ia melibatkan proses penyucian, iaitu penyucian kotoran yang ada di dalam haiwan tersebut melalui proses kuarantin. Ia bertepatan dengan kaedah, "Benda najis apabila dibersihkan dengan pembersih (konsep istihalah) apapun maka menjadi suci"

Bagi tempoh masa kuaranti pula, ia tidak ditentukan kerana bergantung kepada kebiasaaan sahaja. Seperti 40 hari untuk unta, 30 hari untuk lembu, 7 hari untuk kambing dan 3 hari untuk ayam. Sekiranya tempoh masa ini tidak mencukupi untuk menghilangkan kesan najis, maka hendaklah panjangkan tempoh masa tersebut (Hasyiyah asy-Syarqawi)

D) Petua Orang Lama

Kebiasaan adat bagi orang tua, apabila membeli atau menangkap Ikan Keli, sebelum ia ‘dimatikan’, ia akan dikuarantinkan terlebih dahulu di dalam tempayan kerana ikan keli diketahui umum sebagai ikan yang memakan kotoran. Ikan tersebut dikuarantinkan untuk beberapa hari supaya dengan cara tersebut dapat membersihkan kotoran yang ada dalam Ikan Keli. 

Sumber:
1) Isu-isu Produk Halal, Jabatan Mufti Kerajaan Brunei. 2012
2) Halal dan Haram dalam Kepenggunaan Islam Semasa, Universiti Putra Malaysia. 2013 
3) https://id.wikipedia.org/wiki/Koprofagia
4) http://www.astrodigi.com/2009/10/berpenampilan-marmut-bertubuh-seukuran_05.html
5)http://nazrulnasir.blogspot.com/2009/08/hukum-memakan-haiwan-jallalah.html 6)http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/status-kesucian-ikan-yang-diberi-makanan-tidak-halal

Disusun oleh:
Wan Mohamad Rasyadan Bin Wan Hussin 
Rantau Panjang, Kelantan 
(Bekas Mahasiswa Sarjana Muda Sains Bioteknologi Makanan, USIM)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...