Saturday, June 22, 2013

Pasir Gudang masih catat tahap indeks pencemaran udara berbahaya

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Kawasan-kawasan yang terlibat dengan jerebu di Johor dan Melaka terus mencatat peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tengah hari ini dengan Pasir Gudang merekodkan bacaan tertinggi.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat 11 pagi ini, Pasir Gudang masih mencatat bacaan melebihi paras berbahaya, iaitu 323 berbanding 310 pagi tadi manakala Kota Tinggi meningkat ke 314 berbanding 313 pagi tadi.

Muar turut mencatat peningkatan bacaan IPU 193 berbanding 183 pagi tadi. Di Melaka, bacaan IPU yang dicatat di Bandaraya Melaka kini mencecah paras ''sangat tidak sihat'' (205) berbanding paras ''tidak sihat'' (192) pagi tadi. Satu lagi kawasan iaitu Bukit Rambai turut menunjukkan peningkatan bacaan IPU iaitu 191 berbanding 164 pagi tadi.

Kawasan lain yang masih mencatat bacaan tinggi melebihi paras ''tidak sihat'' dengan bacaan IPU 100 sehingga 200, ialah Larkin Lama, Johor (197), Port Dickson dan Seremban, Negeri Sembilan yang masing-masing mencatatkan IPU 187 dan 109 serta Banting, Selangor (143).

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini akan berterusan sehingga Rabu berikutan ribut tropika Bebinca yang bertiup dari arah barat daya.

Timbalan Ketua Pengarahnya Dr Mohd Rosaidi Che Abas berkata ribut itu menjadikan tiupan angin lebih kencang dan cuaca kering, selain membawa jerebu dari arah Sumatera ke sempadan negara.

"Pada awalnya kami menjangkakan cuaca akan kembali kepada keadaan asal pada 23 Jun (Ahad), namun kejadian ribut tropika baharu ini akan memanjangkan keadaan jerebu ini," katanya semasa ditemu bual pada ''Buletin Awani'' Astro Awani, hari ini. 

1 comments:

Cik Fie said...

bahaya tu :(

www.cikfie.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...